Tuesday 7 May 2013

RUJUKAN



Ahmad Marzuki Ismail. (2007). Komunikasi Asas Kemahiran Membaca dan Menulis untuk           Pelajar. Shah Alam : Karisma Publications Sdn. Bhd.
Fisher, S. R .(2004). A History of Reading. London : Roktion Books Ltd.
George M. Jacobs dan Loh Wan Inn. (2002). Read Aloud Asia Build Your Child’s Knowledge and Confidence. Selangor : Times Subang Sdn Bhd.
Goodman, K. (1975). ‘The Reading Process’ in Gollasch, F.V (Eds) Language and Literacy: Selected Writings of Kenneth Goodman. London: Routledge and Legan Paul Ltd.
Harrison, C. (2004). Understanding Reading Development. London: Suge Publication Inc.

Kamarudin Haji Husin dan Siti Hajar Hj. Abdul Aziz. (1997). Pengajian Melayu 2: keterampilan membaca. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman  Sdn. Bhd.
Margaret Ann Richek, Jo Anne Schudt Caldwell, Joyce Holt Jennings and Janet W. Lerner. (2002). Reading Problems : Assessment and Teaching Strategies. Boston : A Pearson Education Company.
Mahzan Arshad. (2003). Pendidikan Literasi Bahasa Melayu: Satu Pendekatan Bersepadu.           Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Mahzan Arshad. (2008). Pendidikan Literasi Bahasa Melayu: Strategi Perancangan dan   Pelaksanaan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Mahzan Arshad. (2003). Pendidikan Literasi Bahasa Melayu: Satu Pendekatan Bersepadu.           Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Rubiah Aksah dan Yea Jing Ong.(2005). Belajar Cara Belajar : Belajar Cara Efektif dan  Praktikal. Shah Alam : Karya Bestari
Robeck, M.C and Wilson, J.A. (1974). Psychology of Reading: Foundations of Instruction.            London: John Wiley & Sons Inc.

Septiawan Santana Kurnia .(2007). Menulis Ilmiah : Metode Penelitian Kualitatif. Jakarta:             Yayasan Obor Indonesia.
Smith, F. (1988). Understanding Reading. New Jersey: Lawrence Erlbaum Associates, Inc            Publication.

Yahya Othman . (2004). Mengajar membaca : teori dan aplikasi panduan meningkatkan   kemahiran mengajar membaca. Pahang : PTS  Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Yahya Othman . (2004). Mengajar Membaca Teori dan Aplikasi : Panduan Meningkatkan            Kemahiran Mengajar Membaca Edisi Kedua. Kuala Lumpur : PTS Professional  Publishing Sdn.Bhd.

Yahya Othman, Roselan Baki dan Naffi Mat. 2009. Pemerkasaan Pendidikan Bahasa Melayu: dari Teori ke Pratik. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Yahya Othman. 2003. Proses dan Strategi Membaca Berkesan. Selangor : Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Yahya Othman. 2004. Panduan Meningkatkan Kemahiran Mengajar Membaca. Pahang :  PTS Publications Sdn Bhd.


Saturday 4 May 2013

PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA



Pendekatan Dalam Mengajar Membaca
Untuk memastikan pelajar dapat menguasai sesuatu kemahiran membaca itu dengan betul, terdapat beberapa langkah atau pendekatan yang boleh digunakan oleh guru untuk membantu pelajar. Dalam konteks ini, ia merangkumi beberapa aspek. Antaranya, pengalaman pelajar, teks yang digunakan serta kebolehan pelajar.

1. Pendekatan Membaca Asas.
Menurut Yahya Othman (2004),  pendekatan ini meliputi aktiviti mengajar membaca yang biasa di mana ia menggunakan pelbagai kemahiran. Antaranya ialah tujuan rekreasi, mencari maklumat serta bimbingan. Dalam pendekatan ini juga, ia turut menekankan tentang kesinambungan pengulangan dan mengulang kaji perkara yang diajar sebelumnya. Ia bermaksud sentiasa membuat latihan terhadap sesuatu yang telah diajar. Dalam pengajaran membaca juga, penambah bahan kepada perkara yang telah diajar merupakan salah satu cara yang boleh membantu pelajar dalam menguasai kemahiran membaca mereka.
      Seterusnya, dalam pendekatan ini pola dan perbendaharaan kata turut dipandang serius. Ia bermakna guru perlu menjelaskan terhadap perkara ini kepada pelajar dengan tepat. Hal ini kerana, supaya bilangan perkataan yang digunakan oleh pelajar dapat dikira dengan tepat dalam waktu-waktu yang tertentu. Malah, perkara yang lebih penting dalam pendekatan ini ialah guru perlu memikirkan kebolehan serta pengalaman yang dimiliki oleh pelajar dalam peringkat menguasai kemahiran membaca.
     Pendekatan ini mempunyai prinsip-prinsip yang tertentu. Antaranya ialah pengajaran perkembangan kemahiran. Ia merujuk kepada guru menekankan aspek yang penting dalam pengajaran. Sebagai contoh, semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru menulis di papan hitam. Kemudian, guru membulatkan perkara yang penting yang ingin di tekankan. Malah, dalam pendekatan membaca asas juga turut meliputi membaca secara terarah. Ia nya terbahagi kepada lima cara, iaitu motivasi, persediaan latar belakang, menetapkan tujuan, membaca semula secara senyap ataupun lisan secara terarah dan juga tindakan balas dan perluasan.
         Dalam konteks motivasi, ia berdasarkan latar pengalaman, kuiz, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Guru boleh melakukan kuiz di dalam kelas agar pelajar lebih bersemangat untuk belajar dan mereka lebih memahami terhadap perkara  yang diajar. Seterusnya ialah persediaan latar belakang. Ia merujuk kepada perkataan yang sukar atau asing , disebut oleh guru. Kemudian, meminta pelajar menggunakannya dalam konteks perbualan ataupun dalam karangan yang dibuat. malah, guru juga boleh meminta pelajar meneka makna perkataan asing yang digunakan itu. Malah, dalam konteks ini guru dan pelajar perlu menetapkan tujuan. Ia bermakna apakah hasil yang bakal diperoleh apabila membaca sesuatu teks. Sama ada ia hasilnya akan memberikan unsur humor, menyelesaikan masalah atau sebagainya. Pelajar juga boleh membaca secara senyap atau lisan secara terarah. Cara ini menunjukkan bagaimana guru membiarkan pelajar membaca dengan senyap atau menghayati teks terlebih dahulu sebelum menjawab sesuatu soalan. Pada masa ini, guru boleh membantu pelajar secara individu dan secara tidak langsung dapat membantu pelajar yang lemah.

2. Pendekatan Teknologikal
Pendekatan ini menekankan keupayaan menghasilkan pengajaran berurutan yang dapat dilakukan semula pada masa yang lain. Malah, ia turut menekankan perkara yang dapat dirasai oleh panca indera serta diberikan bukti kebenarannya. Malah, menurut Yahya Othman juga pendekatan ini dilabelkan sebagai :-  Sistem membaca berdasarkan objektif
b)      Program berdasarkan kriteria
c)      Membaca berdasarkan kecekapan
d)     Sistem pengurusan kemahiran
e)      Membaca berdasarkan perspektif diagnostik
            Dalam pendekatan ini juga terdapat beberapa aspek. Antaranya ialah berkenaan dengan objektif tingkah laku. Pelajar perlu memahami dan mengenal pasti perkataan, objektif terhadap sesuatu pemahaman serta kemahiran belajar. Seterusnya ialah ujian kriteria bagi setiap objektif. Ia menentukan status dan kedudukan individu dengan merujuk kepada domain tingkah laku. Sebagai contoh kemahiran membaca atau beberapa kemahiran lain dalam kemahiran membaca. pada masa yang sama, rangsangan yang diberikan hendaklah sesuai dengan setiap objektif yang telah ditetapkan. Selain itu, strategi pengajaran juga perlu digunakan dalam pendekatan teknologikal ini. Ia merujuk kepada strategi yang wujud dalam bentuk bahan, program pelajaran atau aktiviti pelajar yang memerlukan tindak balas. Di samping itu, strategi melalui contoh dan penerangan membantu mereka mencapai objektif yang telah pun ditetapkan. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah sistem pengajaran, ia hanya menawarkan sumber khusus. Seperti muka surat tertentu buku kerja, kuiz dan sebagainya. Sebagai guru, perlunya kreativiti dalam diri guru tersebut. Hal ini kerana setiap pelaksanaan pengajaran yang menarik, akan membantu pelajar dalam menguasai kemahiran membaca. Aspek terakhir dalam pendekatan ini ialah sistem penyimpanan rekod.
 








3. Pendekatan Pengalaman Bahasa.
Pendekatan ini merujuk kepada pelajar-pelajar yang mempunyai perbezaan linguistik. Menurut Lewis (1990), pendekatan ini mempunyai kelebihan yang tertentu. Antaranya ialah guru dapat menilai penggunaan sintaksis dan struktur ayat apabila mereka menggunakan bahasa lisan itu sendiri, dapat menggabungkan penulisan dalam mengarang cerita daripada pengalaman individu ataupun kumpulan, dapat mengembangkan perbendaharaan kata dan sintaksis apabila pelajar menulis cerita daripada bahan yang didengari serta hasilnya akan membuatkan kesan yang positif.
         Pendekatan ini melibatkan aktiviti hubungan antara pemikiran, pertuturan, penulisan dan membaca. Dalam konteks ini, guru merangsang pelajar mengenai sesuatu perkara yang diajar. Pada masa yang sama, pelajar hendaklah melahirkan pemikirannya secara lisan berdasarkan huraian situasi, analisis masalah serta beberapa cadangan penyelesaian daripada perkara yang dilihat. Dalam konteks ini, ia menjelaskan bahawa perkara yang di fikir, diucapkan, dan dituliskan sangat bermakna. Hal ini kerana ia secara tidak langsung menunjukkan pemahaman pelajar terhadap sesuatu perkara. Dalam pendekatan ini, ia juga menjelaskan terhadap bahan dan kandungan yang perlu dilaksanakan oleh guru. Antaranya ialah tidak menggunakan buku teks yang tertentu. Hal ini kerana, pendekatan ini merujuk kepada kaedah yang berfokus pengalaman. Kemudiannya perbendaharaan kata dan pola ayat juga dibina sendiri oleh pelajar. Malah isi kandungan yang dilahirkan adalah merupakan refleksi daripada pengalaman pelajar sendiri dan juga aktiviti yang diucapkan. Menurut Yahya Othman, pendekatan ini mempunyai kaedah pengajaran yang tertentu. Antaranya :-

a)      Guru perlu berfikir dan melahirkan rangsangan penulisan.
b)      Menulis pemikiran yang diucapkan.
c)      Membaca perkara yang ditulis.
d)     Membuat generalisasi berkenaan pola ejaan dan ayat yang ditulis.
e)      Menyatakan cara pemilihan dan penyusunan yang mempunyai kesan ke atas makna sesuatu ayat.
            Walau bagaimanapun, pendekatan ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri.  Antara kelebihannya ialah hubungan yang rapat antara belajar membaca dan kepentingan pelajar sendiri, perhatian dan bahasa yang digunakan. Kemudian, menghasilkan kesepaduan dalam semua kemahiran berbahasa seperti berfikir, bertutur, mendengar, menulis dan membaca. Sementara itu, kekurangannya pula ialah pendekatan ini memerlukan guru mengakses pengalaman pelajar dan kemudian ia disalurkan pengalaman itu bagi tujuan perkembangan bahasa. Malah, pendekatan ini juga akan menyebabkan penggunaan perkembangan mental yang kompleks. Hal ini demikian kerana perbualan atau aktiviti lisan yang dilakukan oleh pelajar akan mengganggu proses membaca kanak-kanak. Dalam konteks ini, perbualan yang biasa bergantung pada konteks dan bahasa badan yang digunakan bagi memudahkan pemahaman.

4. Pendekatan Membaca Individu
Pendekatan ini lebih menekankan kepada aspek pemeringkatan yang berbeza dalam pembacaan individu. Malah, ia juga menekankan aspek memilih bahan bacaan yang mengaitkannya dengan keperluan, minat dan juga keupayaan seseorang untuk membaca. Pada masa ini, guru perlu membantu cara memilih buku dengan cara penyiringan serta menerangkan kesukaran ketika membacanya. Biasanya guru akan memberi peluang kepada membaca secara meluas serta bebas berdasarkan buku dan majalah pelbagai tajuk.
               Tujuan pendekatan ini dilaksanakan dalam pendekatan membaca ialah salah satunya ia memberi kesan yang meluas dalam menarik minat membaca pelajar serta komitmen menjadikan aktiviti membaca sesuatu yang bernilai dalam kehidupannya. Malah, melalui pendekatan ini juga ia membantu untuk mengembangkan kecekapan kemahiran bahasa yang luas bermula dengan memilih kata yang mudah kepada aplikasi kemahiran bahasa dengan kandungan yang lebih kompleks. Pada masa yang sama, pendekatan ini turut menambahkan keupayaan pelajar memahami dan menilai bahan bacaan. Sebagai contoh, meluaskan keupayaan mengingat semula perkara yang sudah dibaca, sama ada pelajar yang sudah dapat memahami secara keseluruhan ataupun tidak.
            Untuk melaksanakan pendekatan ini juga, perlu dilaksanakan melalui beberapa prinsip. Guru boleh memilih sama ada ingin menggunakan prinsip pilihan kendiri atau perbincangan antara guru dan murid. Dalam aspek pemilihan kendiri, guru perlu mempercayai setiap kanak-kanak memilih buku yang berdasarkan minat dan kepercayaannya. Hal ini kerana ia secara tidak langsung akan membantu pelajar dalam mengembangkan penguasaannya dalam membaca. Kemudian dalam aspek perbincangan antara guru dan murid. melalui aspek ini pengajaran dilaksanakan secara personel atau melalui konferensi. Malah ia juga melibatkan penglibatan murid serta menggunakan huraian yang sesuai. Guru yang melaksanakan pendekatan ini perlu merekod harian bacaan pelajar, dalam konteks kelebihan serta kekurangannya.

5. Pendekatan Bahasa Bersepadu berdasarkan Falsafah Bahasa Keseluruhan.
Pendekatan seterusnya ialah lebih kepada mencerminkan teori utama yang berasakan bahasa kedua dan membina kekuatan linguistik pelajar. Pada masa ini pelajar membaca bagi keseronokan dan pada masa yang sama mereka mencari maklumat. Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa mendapatkan maklumat merupakan matlamat utama pendekatan ini.  Guru sangat diperlukan pada masa ini kerana guru harus membantu pelajar untuk menyelesaikan masalah pelajar.
                 Selain itu, dengan menggunakan pendekatan ini pelajar mempunyai pilihan yang tersendiri untuk belajar kesemua kemahiran membaca yang wujud berpusatkan pelajar dan fungsi guru sebagai fasilitator pembelajaran. Malah, Heges (1991) pengajaran guru yang menggunakan pendekatan ini menggunakan sifat autentik terlalu penting kepada pelajar bahasa yang pertama dan kedua. Sementara Beiger (1996), menggalakkan guru-guru membina pengajaran dengan menggunakan kesusasteraan untuk menyediakan pendidikan yang bersifat multi budaya kepada semua pelajar. Di samping itu, melalui pendekatan ini pelajar dapat mengembangkan penguasaan bahasa yang semula jadi. Ia juga menekankan makna dalam konteks dan pengalaman pelajar bagi memudahkan pemahaman membaca.

6. Pendekatan Membaca berasaskan Bahan Kesusasteraan.
Dalam konteks ini, ia menekankan bahan-bahan kesusasteraan yang mungkin dalam bentuk yang paling asas. Malah, melalui pendekatan ini juga boleh membina kebolehan berbahasa, bahan sastera yang digunakan pada peringkat awal membaca. Hal ini kerana ia dapat mendorong pelajar untuk lebih memahami dengan lebih meluas berkenaan dengan aspek bahasa yang terkandung dalam struktur ayat. Membaca menggunakan bahas kesusasteraan juga akan memperlihatkan keindahan bahasa yang wujud dalam bahan itu sehingga pelajar dapat mengetahui dan memahami jalan cerita yang ingin disampaikan itu.
              Sementara itu, sebagai mana yang maklum negara kita mempunyai pelajar yang berbilang kaum. Ia secara tidak langsung penggunaan sastera daripada etnik yang lain akan membantu mereka untuk lebih memahami serta mengamalkan rasa saling bersatu dalam suatu kelompok yang berbagai-bagai etnik. Dalam konteks pendidikan bahasa di Malaysia, KOMSAS merupakan komponen sastera yang dapat membantu pelajar untuk mencapai tahap kemahiran membaca.

7. Pendekatan Pembacaan Lisan
Melalui pendekatan pembacaan lisan, ia boleh dilakukan dengan menggunakan buku kerana ia mempunyai bahasa yang mengulangi sesuatu bahan bacaan. Sebagai contoh, guru membaca teks yang terdapat dalam buku kemudian diikuti oleh pelajar. Malah, mereka boleh berbincang berkenaan cerita yang disampaikan dan membacanya sekali lagi. Dalam konteks ini, ia dilakukan secara berulang-ulang.

8. Pendekatan Pembacaan Asas
Semasa guru menggunakan pendekatan ini, pelajar perlu memberi perhatian melalui beberapa aspek. Antaranya ialah :-
a)      Mengembangkan konsep latar belakang dan perbendaharaan kata sebelum membaca.
b)      Mahir mengemukakan soalan semasa membaca senyap bagi mengenal pasti dan menghapuskan kekeliruan serta bagi meningkatkan pemahaman pelajar.
c)      Penegasan lebih khusus ke atas kemahiran mendengar bahasa berbanding membaca lisan.
Untuk menjadikan pembacaan yang lebih menarik, guru juga boleh menggabungkan pendekatan mengajar asas membaca dan juga pendekatan kesusasteraan.

9. Pendekatan Mengajar Bacaan Peringkat Awal
Untuk melaksanakan pendekatan ini, terdapat beberapa peringkat asas yang perlu dilaksanakan oleh guru. Antaranya ialah :-
a)      Pendekatan Binaan (Sintektik)
                               I.            Kaedah abjad- Dalam konteks ini dlihat guru melatih pelajar untuk menyebut dan menghafal abjad.
                            II.            kaedah suku kata- Memperkenalkan kepada pelajar dari aspek vokal dan konsonan. Huruf konsonan + huruf vokal menjadikan ia satu suku kata. Dalam suku kata pula terdapat suku kata terbuka, dan suku kata tertutup.
                         III.            Kaedah fonik – Berkenaan dengan bunyi huruf dan bukannya nama huruf. Kemudian huruf akan digabungkan menjadi perkataan.

b)      Pendekatan Cerakinan (analitik)
                               I. Kaedah perkataan – Ia lebih menjurus kepada memperkenalkan perkataan kepada pelajar      dengan menggunakan kad perkataan. Dalam erti kata lain, guru boleh menggunakan akronim bagi memudahkan pelajar untuk mengingat perkataan-perkataan yang tertentu. Malah, pendekatan ini juga akan memudahkan pelajar untuk mengingati makna perkataan tersebut.
                            II.  Kaedah ayat dan cerita – Lebih memberi penekanan kepada ayat sebagai unit yang bermakna dalam bacaan. Malah ia lebih menumpukan kepada bahan bacaan yang lebih berbentuk cerita.

10.  Pendekatan PEBAS iaitu Pendekatan Bacaan Asas Pusat Perkembangan Kurikulum
Pendekatan Gabungan Bunyi Kata
Ia menekankan aspek pendekatan asas berdasarkan faktor yang berikut. Antaranya ialah sistem ejaan bahasa Melayu bersifat fonemik, kebanyakan suku kata bahasa Melayu mudah dan jelas serta perkataan yang mula diperkenalkan sudah difahami maknanya oleh murid.
Pendekatan abjad dan suku kata
Pendekatan ini menekankan pengenalan abjad dan suku kata kepada murid. ia boleh dilaksanakan melalui :-
a) Murid mengenali huruf dan juga hubungannya dengan bunyi.
b) Huruf konsonan pula digabungkan dengan huruf vokal menjadikan suku kata
c) Unit-unit kecil vokal juga digabungkan.
d) Pelaksanaan latih tubi sehingga pelajar boleh mengikuti kemahiran yang diajar.
e) Pengukuhan juga dilakukan melalui penulisan.

Kesimpulan
        Pengajaran membaca perlu dilaksanakan dengan teratur dan mengikut strategi yang pasti akan memberikan kesan yang positif kepada pelajar. Malah, sebagai guru hendaklah tidak berputus asa untuk membantu pelajar agar lebih mahir dalam membaca. Keadaan yang berbeza akan terjadi apabila guru mengajar pelajar yang mempunyai kecerdasan yang berbeza. Sama ada mempunyai kecerdasan yang tinggi atau pun lemah. Malah, faktor umur juga turut mempengaruhi pendekatan yang perlu dilaksanakan oleh guru. Seterusnya guru juga boleh menggunakan pendekatan yang lain untuk membantu pendekatan yang telah sedia ada.

            
                                                                       
                                                             

Friday 3 May 2013

PEMILIHAN BAHAN BACAAN



PEMILIHAN BAHAN BACAAN
Bahan bacaan merangkumi sebuah buku, petikan akhbar atau pun majalah, surat dan sebagainya. Sebagai pembaca, bahan bacaan dapat mempengaruhi keberkesanan pembacaan. Susah ataupun senangnya bahan bacaan itu berkait rapat dengan tahap pembacaan pembaca ketika membaca. Guru-guru sering menghadapi masalah dalam memilih bahan bacaan untuk pelajar. Bahan sama ada dalam bentuk cetakan atau audio visual, ia perlu disediakan untuk pelajar bagi melakukan tugasan yang ditetapkan oleh guru. Oleh itu, penyediaan bahan bacaan bukan hanya meliputi usaha menyediakan bahan sahaja tetapi ia merangkumi tugasan yang perlu dilaksanakan dalam aktiviti membaca tersebut. Kesesuaian bahan dengan minat, kebolehan dan kesediaan belajar mempengaruhi kejayaan pengajaran bacaan dalam kelas.

            Bahan bacaan merangkumi pelbagai bentuk, jenis dan gaya seperti bahan akademik, sastera, laporan, berita dan sebagainya. Kepelbagaian laras bahasa dapat mempengaruhi kefahaman pelajar kerana perbezaan yang wujud dari segi perbendaharaan kata, rangkai kata, ayat atau gaya bahasa. Apabila digandingkan dengan bahasa lisan, bahan bacaan berbeza terutamanya dari segi penggunaan kata, ayat dan penyampaian gaya bahasa. Bahan bagi bacaan perlu disediakan dengan menggunakan bahasa yang bersifat formal, dengan menitikberatkan penggunaan tatabahasa, struktur ayat yang lengkap, perbendaharaan kata terpilih yang sesuai dengan jangkaan pembaca serta mempunyai daya penarik supaya terus dibaca. (Yahya Othman, 2004 : 98)

            Pemilihan bahan bacaan adalah penting kerana pembaca khususnya pelajar terdedah kepada maklumat yang positif mahupun negatif, kesahihan maklumat dan fakta serta kecenderungan, batasan dan halangan yang akan mungkin timbul dalam pemilihan bahan bacaan. Dengan tidak adanya persediaan dari segi kriteria memilih bahan bacaan, ia akan menyebabkan berlakunya pembaziran wang, masa dan sebagainya. (George M.Jacobs & Loh Wan Inn, 2002 : 23)

            Secara umumnya, pemilihan sesuatu bahan bacaan adalah sesuatu yang subjektif. Setiap pelajar perlu mempunyai arah dan hala tuju dalam memilih sesuatu buku atau bahan bacaan. Contohnya, pelajar tahap rendah perlu diberi bimbingan dan nasihat oleh ibu bapa sebelum membelinya dan pelajar tahap menengah pula perlu mendapatkan garis panduan daripada guru-guru. Berdasarkan situasi semasa, pemilihan sesuatu bahan bacaan yang diamalkan oleh kebanyakan pelajar boleh dibahagikan kepada beberapa faktor iaitu:

        i.            Buku rujukan yang mempunyai perkaitan dengan mata pelajaran yang dipelajari

      ii.            Buku umum iaitu cerita, sukan dan hiburan yang diminati berdasarkan kepada keperluan semasa.

    iii.            Buku yang diwajibkan oleh guru sekolah.

Pemilihan bahan bacaan juga dibuat berdasarkan ingin memperkemas dan memantapkan lagi ilmu pengetahuan, maklumat, kemahiran dan pengalaman sedia ada. Melalui perluasan ini, pembaca khususnya pelajar akan berusaha untuk memilih bahan bacaan yang berkaitan dengan nilai dan kemajuan diri, teknik pembelajaran dan isu-isu semasa. Dengan itu, kita sebagai pembaca perlu mengetahui realiti dan kebenaran bahan bacaan dengan keperluan persekitarannya. Secara keseluruhannya, faktor dalam pemilihan bahan bacaan berubah mengikut keperluan pembelajaran.

MASALAH DALAM MEMBACA



4.0       MASALAH DALAM MEMBACA

Membaca merupakan suatu proses yang bukan sahaja dilalui oleh pelajar malah ia turut dilalui oleh pembaca dewasa. Lazimnya, membaca merupakan proses yang paling banyak dilalui oleh pelajar semasa mereka menuntut di institusi pengajian tinggi. Mereka membaca untuk mencari tugasan, menganalisis teks untuk mendapatkan maklumat, membaca jurnal, laporan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, mereka juga mengalami kesukaran dalam proses membaca terutamanya yang melibatkan usaha untuk memahami isi kandungan teks. Menurut Carrell (1992), beliau menyatakan keupayaan untuk memahami isi kandungan teks banyak dipengaruhi oleh latar belakang bahan yang dibaca, bahasa yang sukar difahami, jenis dan panjang sesuatu petikan. Malahan, dapatan kajian yang dilakukan oleh Kid dan Greene (2002) menunjukkan pembaca dewasa juga menghadapi masalah dalam membaca seperti masalah kesedaran fonemik, analisis perkataan, kelancaran, perbendaharaan kata dan pemahaman. Memandangkan penguasaan membaca dianggap penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran, maka kita perlu menilai aspek yang mempengaruhi permasalahan dalam membaca untuk memastikan pembelajaran tersebut berkesan. (Yahya Othman, 2003 : 9)

            Antara masalah yang mempengaruhi proses membaca adalah seperti membaca secara pasif, strategi yang tidak jelas, kurangnya pengetahuan lalu, kurang mengintegrasi maklumat, sikap sambil lewa, kesedaran meta kognitif serta kesedaran dan pemantauan proses membaca.

a)      Membaca secara pasif

Membaca secara pasif merupakan salah satu faktor yang boleh menyumbang kepada masalah membaca. Keadaan ini wujud apabila pembaca tidak mementingkan pembinaan makna dan strategi membaca. Hal ini kerana strategi membaca dan penguasaan perbendaharaan kata mempengaruhi kebolehan membaca. Secara signifikannya, terdapat perbezaan dari segi penggunaan strategi membaca dalam kalangan pembaca dewasa. Contohnya, terdapat pembaca yang menggunakan strategi pengulangan ayat dan sesetengah mereka tidak terikat dengan mana-mana strategi yang khusus. Hal ini menunjukkan pembaca dewasa berupaya menganalisis, merumus dan mensintesiskan maklumat teks serta melakukan inferens jika strategi yang digunakan adalah sesuai.


b)     Strategi yang tidak jelas

Menurut kajian oleh Pressley et.al (1995), beliau menunjukkan pelajar tidak mempunyai strategi terancang apabila mempelajari teks untuk tujuan peperiksaan. Mereka gagal dalam mencari maklumat dalam teks, tidak memantau dama ada mengetahui idea utama petikan dan tidak menghuraikan fakta yang terdapat di dalam teks. Pelajar juga dikatakan menggunakan strategi yang tidak sofistikated dan tidak efektif jika dilihat dalam perspektif pemprosesan maklumat. Pelajar tidak dapat memahami teks yang mempunyai pembinaan makna apabila melibatkan konteks yang lebih mencabar. Akibatnya, mereka kurang menguasai teks dengan baik dan keadaan ini mempengaruhi pemahaman.

c)      Kurangnya pengetahuan lalu

Pengetahuan lalu berkaitan tajuk yang dibaca juga mempengaruhi kebolehbacaan membaca dan pemahaman. Pengalaman hidup pembaca berkaitan kandungan teks yang dibaca memberikan peluang kepada mereka menyesuaikan pengalaman tersebut dengan maklumat teks. Walau bagaimanapun, masalah wujud kerana pembaca kurang memiliki pengetahuan lalu yang mungkin disebabkan oleh kurangnya pendedahan atau peluang untuk menguasainya adalah terhad.

d)     Kurang mengintegrasikan maklumat

Dalam proses membaca, pembaca bukan sahaja menumpukan perhatiannya dengan kandungan teks yang dibaca, malah mereka perlu mampu mengintegrasikan maklumat yang dibaca agar selaras dengan tugasan membaca yang diberikan kepada mereka. Contohnya, sesetengah pembaca mampu mendapatkan maklumat yang diminta tetapi gagal untuk menyesuaikannya dengan keperluan tugasan. Secara tidak langsung, keadaan ini menunjukkan mereka sukar untuk memanfaatkan kandungan teks untuk tujuan pemahaman. Maka, pembaca memerlukan proses seimbang dengan pendekatan berbentuk lingkaran (spiral) yang menggabungkan pengajaran secara responsif dengan pembinaan pengetahuan, makna dan mengenal pasti perkataan.

e)      Sikap yang tidak mengambil berat

Sikap yang tidak mengambil berat terhadap kelangsungan proses membaca telah dibincangkan oleh Slater dan Horstman (2002). Mereka berpendapat aspek afektif dalam proses membaca memberi kesan terhadap kemajuan penguasaan membaca. Faktor sikap yang tidak mengambil berat ini juga turut disokong oleh Koda (2005) yang mengatakan bahawa pembaca sering tidak mementingkan proses pemahaman membaca yang perlu dikuasai oleh pembaca. Pembaca seharusnya melihat perspektif membaca dari segi konstruktif yang memerlukan penguasaan skema yang mendasari pemahaman. Manakala, pembaca yang matang akan menguasai proses membaca dengan memiliki kesedaran meta kognitif untuk memahami teks tersebut. (Margaret Ann Richek et.al, 2002 : 6)

f)       Kesedaran meta kognitif

Selain itu juga, kesedaran meta kognitif dianggap mempengaruhi kebolehan membaca. Tambahan pula, pada masa kini kajian dalam bidang membaca telah mula memberi fokus terhadap peranan meta kognitif. Kajian-kajian yang dilakukan ke atas pelajar adalah lebih matang dan menunjukkan wujudnya keperluan terhadap kesedaran meta kognitif bagi meningkatkan kebolehan memahami teks dengan lebih berkesan.

g)      Kesedaran dan pemantauan

Pengetahuan atau kesedaran metakognitif adalah pengetahuan yang dimiliki. Tugasan yang dihadapi dan strategi yang digunakan oleh pembaca. Aspek kesedaran dan pemantauan dalam proses membaca juga dianggap penting dalam mempengaruhi kebolehan membaca. Menurut Mokhtari dan Carla (2002), kedua-dua aspek tersebut banyak mempengaruhi kebolehan membaca seseorang. Berdasarkan kajian yang mereka menunjukkan bahawa pelajar juga perlu didedahkan dengan strategi metakognitif yang didapati dapat membantu mereka memahami teks dengan lebih berkesan.

            Selain itu juga, masalah membaca ini turut dipengaruhi oleh beberapa faktor yang menyumbang kepada kebolehan membaca. Contohnya, faktor pembaca sendiri, faktor psikologi dan faktor persekitaran. (Yahya Othman, 2004 : 18)

a)      Faktor pembaca sendiri

Kecerdasan dan kebolehan membaca saling berkait antara satu sama lain. Pelajar yang mempunyai kecerdasan yang tinggi lazimnya berpeluang memahami bahan yang dibacanya berbanding pelajar yang lemah. Kecerdasan ini dapat membantu pelajar untuk menumpukan perhatian dan mengingat perkara yang dibacanya. Pertalian antara kecerdasan dengan tahap pemahaman sememangnya wujud. Kajian menunjukkan bahawa pelajar yang cerdas mempunyai tahap pemahaman yang lebih baik berbanding pelajar yang lain. Terdapat juga hubungan antara kebolehan berbahasa dengan kejayaan dalam membaca. Contohnya, penguasaan perbendaharaan kata yang luas dapat membantu pelajar memahami teks yang dibacanya tanpa gangguan mencari maksud perkataan yang sukar. Faktor individu dalam mempelajari kaedah membaca melibatkan aspek self-esteem, kawalan diri, mengambil risiko, kebimbangan dan motivasi. Sekiranya, pelajar tidak mempunyai tahap kecerdasan yang tinggi, ia akan menyebabkan berlakunya masalah membaca dan mengurangkan tahap pemahaman pelajar.  

b)     Faktor psikologi

Minat dan motivasi berperanan dalam membina tabiat dan keupayaan membaca. Minat yang mendalam ke atas bahan bacaan memudahkan seseorang itu mengalami proses pembacaannya. Dorongan dan pemupukan minat juga memerlukan kerjasama guru dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi menangani masalah membaca dalam kalangan pelajar seperti :

          i.            Menunjukkan kepentingan membaca dalam aktiviti harian.

        ii.            Menyediakan bahan bacaan yang banyak dan pelbagai pilihan dalam kelas.

      iii.            Menggalakkan aktiviti bercerita dan berkongsi pengalaman daripada bahan bacaan.’

      iv.            Menentukan pemilihan bahan bacaan, alatan, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang sesuai.

        v.            Memberikan ganjaran yang sesuai dalam pengajaran.


c)      Faktor fizikal

Faktor fizikal melibatkan deria pendengaran dan penglihatan. Ketidakupayaan pelajar mendengar dengan baik dan jelas akan menggagalkannya membuat diskriminasi bunyi kata dan teks keseluruhannya. Ia juga memerlukan daya penglihatan yang jelas bagi mengenal pasti makna daripada teks. Sekiranya pendengaran dan penglihatan tidak berfungsi dengan baik, ia bukan sahaja menyebabkan pelajar mendiskriminasikan huruf malah ia menyumbang kepada masalah membaca. Antara masalah dalam faktor fizikal ialah seperti :


        i.            Permintaan yang kerap supaya sesuatu penerangan diulang.

      ii.            Ucapan atau sebutan yang tidak jelas.

    iii.            Kebolehan mengeja lemah.

    iv.            Tidak dapat memberikan perhatian.


d)     Faktor persekitaran

Persekitaran di rumah juga banyak memainkan peranan dalam menentukan kebolehan membaca termasuklah tahap pendidikan ibu bapa, kegiatan sosiobudaya, pendapatan, kestabilan emosi, corak interaksi dan komunikasi serta sikap ke atas pembelajaran. Ahli keluarga khususnya ibu bapa adalah model dalam tingkah laku, tabiat dan suka membaca. Peranan keluarga mewujudkan suasana membaca yang merangsang dan penyediaan bahan juga mempengaruhi membaca. Pelajar juga melihat sebab keluarganya membaca. Antara sebabnya ialah untuk mendapatkan maklumat, dunia atau peristiwa komuniti, mencari hobi atau minat yang baru. Sekiranya, keluarga itu sendiri tidak memupuk minat dalam diri pelajar, hal ini akan menyebabkan wujudnya masalah membaca dalam kalangan membaca sehingga membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran.

            Persekitaran sekolah juga mempengaruhi kebolehan membaca pelajar. Sekiranya sekolah tidak menyediakan persekitaran yang sesuai bagi membaca, ia boleh mewujudkan masalah membaca dan memberikan kesan psikologi kepada pelajar untuk tidak mempunyai minat membaca. Maka, tingkah laku guru dalam mengendalikan bilik darjah amat mempengaruhi kebolehan membaca. Contohnya, guru perlu menyediakan bahan bacaan yang sesuai, jenis soalan yang baik dan memberi dorongan serta pengukuhan kepada pelajar. Apabila bahan bacaan yang dibaca oleh pelajar adalah menarik minat mereka, mereka akan memberikan respon yang positif dan mudah bagi mereka untuk bertindak balas berdasarkan pengajaran guru. Maka, masalah membaca dalam kalangan pelajar juga dapat diatasi dengan baik.

            Masalah membaca dalam kalangan pelajar juga dipengaruhi oleh persekitaran komuniti. Pembaca menggabungkan pengetahuan dan nilai yang ada dalam komuniti dengan perspektifnya sendiri bagi membezakan tahap pembacaan. Contohnya, pengalaman berkerja di ladang, hidup di kawasan setinggan ataupun di bandar kecil mempunyai perbezaannya tersendiri. Lebih banyak pengalaman dalam komuniti serta lebih banyak penglibatan dalam aktiviti, maka semakin kaya pengetahuan latar pembaca yang diperoleh semasa membaca. Begitulah sebaliknya.

  
           

BELAJAR MEMBACA



BELAJAR MEMBACA

Tarigan (2008: 9) menyebutkan bahawa “Tujuan utama dalam membaca adalah untuk mencari serta memperolehi informasi, yang mencakupi isi dan memahami makna bacaan”. Supaya lebih memahami lagi tujuan kita belajar  membaca ini ,  Tarigan (2008: 9-11) telah memaparkan beberapa sebab yang dijadikan tujuan oleh seseorang untuk melakukan aktiviti-aktiviti  membaca, diantaranya adalah seperti berikut:

i.  Membaca untuk menemukan atau mengetahui penemuan yang telah dilakukan oleh seseorang tokoh. Membaca seperti ini disebut juga membaca untuk memperoleh perincian atau fakta-fakta.

ii.   Membaca untuk memperoleh idea-idea utama. Membaca seperti ini adalah untuk mengetahui mengapa hal itu merupakan topik yang baik dan menarik.

iii.  Membaca untuk mengetahui apa yang terjadi. Membaca seperti ini bertujuan untuk mengetahui urutan atau susunan organisasi cerita.

iv.  Membaca untuk mengetahui perasaan pengarang. Membaca seperti ini bertujuan untuk menyimpulkan sesuatu fakta.

v.   Membaca untuk mengelompokkan atau mengklasifikasikan. Membaca seperti ini bertujuan untuk mengelompokkan atau mengklasifikasikan.

vi.   Membaca untuk menilai atau mengevaluasi. Membaca seperti ini bertujuan untuk menilai, atau membaca untuk  mengevaluasi sesuatu fakta.

vii.  Membaca untuk membandingkan atau memperbahaskan. Membaca seperti ini bertujuan untuk memperbandingkan atau memperbahaskan.

Semua informasi, ilmu pengetahuan dan pengalaman-pengalaman yang diperolehi melalui bacaan membolehkan seseorang itu mempertinggikan lagi  daya pemikirannya, mempertajamkan pendengarannya dan memperluaskan wawasannya. Dengan demikian kegiatan belajar membaca dapat diklasifikasikan menjadi beberapa jenis, yaitu belajar membaca secara nyaring, membaca dalam hati, membaca telaah isi, dan membaca telaah bahasa. Secara lebih jelas, jenis membaca dapat dihuraikan seperti berikut :

1.MEMBACA SECARA NYARING

Secara sederhana membaca nyaring dapat di maknai dengan melakukan aktiviti-aktiviti membaca dengan mengeluarkan suara. Tarigan (2008: 23) menyebutkan definisi dari membaca nyaring, seperti berikut:

  Membaca nyaring adalah suatu aktiviti-aktiviti  atau kegiatan yang merupakan alat bagi guru, murid, ataupun pembaca bersama-sama dengan orang lain atau pendengar untuk menangkap serta memahami informasi, fikiran dan perasaan seseorang pengarang.

Menyambung pemaparan definisi membaca nyaring oleh Tarigan, Moulton (Tarigan 2008: 23) menjelaskan ada perbezaan antara membaca dalam hati dengan membaca nyaring. Ketika melakukan aktiviti-aktiviti membaca, pemahaman melibatkan penglihatan dan ingatan, sedangkan dalam membaca nyaring, selain penglihatan dan ingatan, juga turut aktif auditory memory (ingatan pendengaran) dan motor memory (ingatan yang bersangkut paut dengan otot-otot kita). Berdasarkan pendapat yang dikemukakan oleh Tarigan dan Moulton dapat disimpulkan bahawa membaca nyaring merupakan kegiatan membaca secara bersama melibatkan lebih dari satu orang, untuk memahami bacaan yang ditulis oleh pengarang dengan mengoptimakan/mempertingkatkan lagi kerja penglihatan, pendengaran dan otot-otot tubuh.

2. MEMBACA DALAM HATI

Menurut Tarigan (2008: 32) membaca dalam hati secara garis besar dibahagikan kepada yang pertamanya ialah membaca ekstensif dan keduanya membaca intensif. Membaca ekstensif bermaksud membaca secara luas dalam sesuatu  teks iaitu dalam waktu yang sesingkat mungkin. Kegiatan membaca ekstensif adalah kegiatan membaca untuk memahami isi yang penting dengan cepat dan efisien dalam suatu bacaan. Kegiatan membaca ekstensif meliputi: (1) membaca survey (2) membaca sekilas dan  (3) membaca dangkal, Broughton et al. (Tarigan, 2008 : 32). Menurut Brooks (Tarigan, 2008: 36) membaca intensif pula adalah pembelajaran yang secara menyeluruh, telaah isi, dan penanganan terperinci yang dilaksanakan di dalam kelas terhadap suatu tugas yang pendek dua sampai empat halaman setiap hari. Kegiatan membaca intensif meliputi membaca telaah isi dan  membaca telaah bahasa.

Membaca dalam hati sebenarnya merupakan kegiatan membaca untuk orang dewasa. Di sekolah, dasar jenis membaca dalam hati belum dapat diberikan secara mutlak dan baru bersifat pelatihan. Pembelajaran membaca dalam hati di sekolah ialah dasar yang bertujuan untuk mendapatkan informasi dari suatu bacaan dengan memahami isinya secara tepat dan cermat. Untuk mencapai sasaran membaca dalam hati, anak-anak sekolah  hendaklah menguasai keterampilan-keterampilan berikut iaitu membaca tidak bersuara, membaca tanpa disertai gerakan-gerakan anngota badan, membaca tanpa bimbang akan kandungan isinya meskipun tidak sesuai, berkonsentrasi fizik dan mental, serta  dapat mengungkapkan kembali isi bacaan.


3.BELAJAR MEMBACA TELAAH ISI

Membaca telaah isi cenderung dilakukan oleh semua orang yang menemukan minat pada bahan bacaan yang telah dibacanya dengan sekilas. Biasanya pembaca-pembaca ingin menelaah isinya secara mendalam dan tertarik untuk membacanya dengan teliti. Tarigan (2008: 40) menyebutkan bahawa “Menelaah isi sesuatu bacaan menuntut ketelitian, pemahaman, kekritisan berfikir, serta keterampilan menangkap idea-idea yang tersirat dalam bacaan”. Dari pendapat Tarigan tersebut kita dapat membahagikan aktiviti-aktiviti dari membaca telaah isi menjadi beberapa aktiviti membaca, diantaranya ialah membaca dengan teliti, membaca dengan pemahaman, membaca dengan kritis, dan membaca dengan idea.

Selanjutnya jika diperhatikan dengan lebih mendalam mengenai pendapat yang dipaparkan Tarigan, bahawa membaca telaah isi merupakan suatu aktiviti  membaca untuk mendapatkan informasi penting dari suatu bacaan yang menarik perhatian pembaca, dengan melibatkan pemahaman, keterampilan memperolehi idea bacaan serta ketelitian dalam membaca bahan bacaan.

4.MEMBACA TELAAH BAHASA  

Membaca telaah bahasa atau content study reading mempunyai persamaan dengan cara belajar  membaca dalam hati. Aktiviti kedua kegiatan membaca tersebut dilaksanakan dengan tidak bersuara. Menurut Muchlisoh. (1996: 152-156) tujuan membaca telaah bahasa secara terperincinya adalah seperti berikut bertambahnya kosa kata yang dimiliki oleh siswa dan bertambahnya pengetahuan sistem bentuk kata, sistem kalimat, sistem tulis dan semantic para  siswa. Selain dari beberapa tujuan khusus membaca telaah bahasa seperti yang disampaikan Muchlisoh, maka kita pun perlu mengetahui bahawa tujuan utama membaca telaah bahasa adalah untuk memperbesarkan daya kata dan mengembangkan kosa kata. Setiap orang mempunyai dua jenis daya kata iaitu dipergunakan dalam berbicara dan menulis dan  dipergunakan dalam membaca dan menyemak (Tarigan (2008: 123).

Dari pendapat yang dipaparkan Muchlisoh ataupun Tarigan, kedua-duanya bermaksud membaca telaah bahasa adalah suatu proses membaca untuk menambahkan perbendaharaan kata serta bertambahnya pengetahuan sistem pembentukkan kata. Bahan yang dipakai dalam pembelajaran membaca telaah bahasa dapat diambil dari beberapa sumber, misalnya dari bekas bahan yang digunakan dalam membaca teknik, bahan yang dipakai dalam membaca dalam hati, atau bahan lain yang sifatnya masih baru. Sumber bahan dapat diperoleh dari sumber bahan data buku , buku rujukan, majalah, dan sebagainya. Isi bahan dalam kegiatan membaca bahasa dapat berupa bahan yang menyangkut masalah ilmu pengetahuan alam, sosial, budaya, dan kesusasteraan. Adapun yang perlu diingat dalam kegiatan membaca bahasa adalah bahan yang akan digunakan harus memuatkan struktur bahasa.

5. BELAJAR MEMBACA SKIMMING/SCANNING/MEMINDAH

 Membaca dengan cepat suatu bahan bacaan untuk mendapatkan kesan awal atau untuk mencari sesuatu informasi atau maklumat yang kita perlukan yang ada dalam bacaan. Membaca  skimming adalah membaca untuk memperoleh kesan umum. Digunakan untuk pembacaan bahan yang ringkas, cepat, panjang tetapi sepintas lalu. Teknik ini digunakan untuk pembacaan bahan yang ringkas seperti petikan/ bahan bacaan panjang dari journal, buku dan majalah. Membaca  scanning adalah membaca dengan tujuan untuk mendapatkan informasi atau maklumat khusus sahaja. Membaca secara pantas dan cepat untuk mendapatkan maklumat khusus dan bukannya mendapatkan gambaran keseluruhan teks yang dibaca. Teknik ini bertujuan untuk menentukan tahap kecekapan seseorang dalam mencari maklumat yang khusus dan penting. Seterusnya ialah membaca intensif  juga termasuk di dalam cara pembelajaran secara skimming/scanning atau memindahkan.