Friday 3 May 2013

MASALAH DALAM MEMBACA



4.0       MASALAH DALAM MEMBACA

Membaca merupakan suatu proses yang bukan sahaja dilalui oleh pelajar malah ia turut dilalui oleh pembaca dewasa. Lazimnya, membaca merupakan proses yang paling banyak dilalui oleh pelajar semasa mereka menuntut di institusi pengajian tinggi. Mereka membaca untuk mencari tugasan, menganalisis teks untuk mendapatkan maklumat, membaca jurnal, laporan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, mereka juga mengalami kesukaran dalam proses membaca terutamanya yang melibatkan usaha untuk memahami isi kandungan teks. Menurut Carrell (1992), beliau menyatakan keupayaan untuk memahami isi kandungan teks banyak dipengaruhi oleh latar belakang bahan yang dibaca, bahasa yang sukar difahami, jenis dan panjang sesuatu petikan. Malahan, dapatan kajian yang dilakukan oleh Kid dan Greene (2002) menunjukkan pembaca dewasa juga menghadapi masalah dalam membaca seperti masalah kesedaran fonemik, analisis perkataan, kelancaran, perbendaharaan kata dan pemahaman. Memandangkan penguasaan membaca dianggap penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran, maka kita perlu menilai aspek yang mempengaruhi permasalahan dalam membaca untuk memastikan pembelajaran tersebut berkesan. (Yahya Othman, 2003 : 9)

            Antara masalah yang mempengaruhi proses membaca adalah seperti membaca secara pasif, strategi yang tidak jelas, kurangnya pengetahuan lalu, kurang mengintegrasi maklumat, sikap sambil lewa, kesedaran meta kognitif serta kesedaran dan pemantauan proses membaca.

a)      Membaca secara pasif

Membaca secara pasif merupakan salah satu faktor yang boleh menyumbang kepada masalah membaca. Keadaan ini wujud apabila pembaca tidak mementingkan pembinaan makna dan strategi membaca. Hal ini kerana strategi membaca dan penguasaan perbendaharaan kata mempengaruhi kebolehan membaca. Secara signifikannya, terdapat perbezaan dari segi penggunaan strategi membaca dalam kalangan pembaca dewasa. Contohnya, terdapat pembaca yang menggunakan strategi pengulangan ayat dan sesetengah mereka tidak terikat dengan mana-mana strategi yang khusus. Hal ini menunjukkan pembaca dewasa berupaya menganalisis, merumus dan mensintesiskan maklumat teks serta melakukan inferens jika strategi yang digunakan adalah sesuai.


b)     Strategi yang tidak jelas

Menurut kajian oleh Pressley et.al (1995), beliau menunjukkan pelajar tidak mempunyai strategi terancang apabila mempelajari teks untuk tujuan peperiksaan. Mereka gagal dalam mencari maklumat dalam teks, tidak memantau dama ada mengetahui idea utama petikan dan tidak menghuraikan fakta yang terdapat di dalam teks. Pelajar juga dikatakan menggunakan strategi yang tidak sofistikated dan tidak efektif jika dilihat dalam perspektif pemprosesan maklumat. Pelajar tidak dapat memahami teks yang mempunyai pembinaan makna apabila melibatkan konteks yang lebih mencabar. Akibatnya, mereka kurang menguasai teks dengan baik dan keadaan ini mempengaruhi pemahaman.

c)      Kurangnya pengetahuan lalu

Pengetahuan lalu berkaitan tajuk yang dibaca juga mempengaruhi kebolehbacaan membaca dan pemahaman. Pengalaman hidup pembaca berkaitan kandungan teks yang dibaca memberikan peluang kepada mereka menyesuaikan pengalaman tersebut dengan maklumat teks. Walau bagaimanapun, masalah wujud kerana pembaca kurang memiliki pengetahuan lalu yang mungkin disebabkan oleh kurangnya pendedahan atau peluang untuk menguasainya adalah terhad.

d)     Kurang mengintegrasikan maklumat

Dalam proses membaca, pembaca bukan sahaja menumpukan perhatiannya dengan kandungan teks yang dibaca, malah mereka perlu mampu mengintegrasikan maklumat yang dibaca agar selaras dengan tugasan membaca yang diberikan kepada mereka. Contohnya, sesetengah pembaca mampu mendapatkan maklumat yang diminta tetapi gagal untuk menyesuaikannya dengan keperluan tugasan. Secara tidak langsung, keadaan ini menunjukkan mereka sukar untuk memanfaatkan kandungan teks untuk tujuan pemahaman. Maka, pembaca memerlukan proses seimbang dengan pendekatan berbentuk lingkaran (spiral) yang menggabungkan pengajaran secara responsif dengan pembinaan pengetahuan, makna dan mengenal pasti perkataan.

e)      Sikap yang tidak mengambil berat

Sikap yang tidak mengambil berat terhadap kelangsungan proses membaca telah dibincangkan oleh Slater dan Horstman (2002). Mereka berpendapat aspek afektif dalam proses membaca memberi kesan terhadap kemajuan penguasaan membaca. Faktor sikap yang tidak mengambil berat ini juga turut disokong oleh Koda (2005) yang mengatakan bahawa pembaca sering tidak mementingkan proses pemahaman membaca yang perlu dikuasai oleh pembaca. Pembaca seharusnya melihat perspektif membaca dari segi konstruktif yang memerlukan penguasaan skema yang mendasari pemahaman. Manakala, pembaca yang matang akan menguasai proses membaca dengan memiliki kesedaran meta kognitif untuk memahami teks tersebut. (Margaret Ann Richek et.al, 2002 : 6)

f)       Kesedaran meta kognitif

Selain itu juga, kesedaran meta kognitif dianggap mempengaruhi kebolehan membaca. Tambahan pula, pada masa kini kajian dalam bidang membaca telah mula memberi fokus terhadap peranan meta kognitif. Kajian-kajian yang dilakukan ke atas pelajar adalah lebih matang dan menunjukkan wujudnya keperluan terhadap kesedaran meta kognitif bagi meningkatkan kebolehan memahami teks dengan lebih berkesan.

g)      Kesedaran dan pemantauan

Pengetahuan atau kesedaran metakognitif adalah pengetahuan yang dimiliki. Tugasan yang dihadapi dan strategi yang digunakan oleh pembaca. Aspek kesedaran dan pemantauan dalam proses membaca juga dianggap penting dalam mempengaruhi kebolehan membaca. Menurut Mokhtari dan Carla (2002), kedua-dua aspek tersebut banyak mempengaruhi kebolehan membaca seseorang. Berdasarkan kajian yang mereka menunjukkan bahawa pelajar juga perlu didedahkan dengan strategi metakognitif yang didapati dapat membantu mereka memahami teks dengan lebih berkesan.

            Selain itu juga, masalah membaca ini turut dipengaruhi oleh beberapa faktor yang menyumbang kepada kebolehan membaca. Contohnya, faktor pembaca sendiri, faktor psikologi dan faktor persekitaran. (Yahya Othman, 2004 : 18)

a)      Faktor pembaca sendiri

Kecerdasan dan kebolehan membaca saling berkait antara satu sama lain. Pelajar yang mempunyai kecerdasan yang tinggi lazimnya berpeluang memahami bahan yang dibacanya berbanding pelajar yang lemah. Kecerdasan ini dapat membantu pelajar untuk menumpukan perhatian dan mengingat perkara yang dibacanya. Pertalian antara kecerdasan dengan tahap pemahaman sememangnya wujud. Kajian menunjukkan bahawa pelajar yang cerdas mempunyai tahap pemahaman yang lebih baik berbanding pelajar yang lain. Terdapat juga hubungan antara kebolehan berbahasa dengan kejayaan dalam membaca. Contohnya, penguasaan perbendaharaan kata yang luas dapat membantu pelajar memahami teks yang dibacanya tanpa gangguan mencari maksud perkataan yang sukar. Faktor individu dalam mempelajari kaedah membaca melibatkan aspek self-esteem, kawalan diri, mengambil risiko, kebimbangan dan motivasi. Sekiranya, pelajar tidak mempunyai tahap kecerdasan yang tinggi, ia akan menyebabkan berlakunya masalah membaca dan mengurangkan tahap pemahaman pelajar.  

b)     Faktor psikologi

Minat dan motivasi berperanan dalam membina tabiat dan keupayaan membaca. Minat yang mendalam ke atas bahan bacaan memudahkan seseorang itu mengalami proses pembacaannya. Dorongan dan pemupukan minat juga memerlukan kerjasama guru dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi menangani masalah membaca dalam kalangan pelajar seperti :

          i.            Menunjukkan kepentingan membaca dalam aktiviti harian.

        ii.            Menyediakan bahan bacaan yang banyak dan pelbagai pilihan dalam kelas.

      iii.            Menggalakkan aktiviti bercerita dan berkongsi pengalaman daripada bahan bacaan.’

      iv.            Menentukan pemilihan bahan bacaan, alatan, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran yang sesuai.

        v.            Memberikan ganjaran yang sesuai dalam pengajaran.


c)      Faktor fizikal

Faktor fizikal melibatkan deria pendengaran dan penglihatan. Ketidakupayaan pelajar mendengar dengan baik dan jelas akan menggagalkannya membuat diskriminasi bunyi kata dan teks keseluruhannya. Ia juga memerlukan daya penglihatan yang jelas bagi mengenal pasti makna daripada teks. Sekiranya pendengaran dan penglihatan tidak berfungsi dengan baik, ia bukan sahaja menyebabkan pelajar mendiskriminasikan huruf malah ia menyumbang kepada masalah membaca. Antara masalah dalam faktor fizikal ialah seperti :


        i.            Permintaan yang kerap supaya sesuatu penerangan diulang.

      ii.            Ucapan atau sebutan yang tidak jelas.

    iii.            Kebolehan mengeja lemah.

    iv.            Tidak dapat memberikan perhatian.


d)     Faktor persekitaran

Persekitaran di rumah juga banyak memainkan peranan dalam menentukan kebolehan membaca termasuklah tahap pendidikan ibu bapa, kegiatan sosiobudaya, pendapatan, kestabilan emosi, corak interaksi dan komunikasi serta sikap ke atas pembelajaran. Ahli keluarga khususnya ibu bapa adalah model dalam tingkah laku, tabiat dan suka membaca. Peranan keluarga mewujudkan suasana membaca yang merangsang dan penyediaan bahan juga mempengaruhi membaca. Pelajar juga melihat sebab keluarganya membaca. Antara sebabnya ialah untuk mendapatkan maklumat, dunia atau peristiwa komuniti, mencari hobi atau minat yang baru. Sekiranya, keluarga itu sendiri tidak memupuk minat dalam diri pelajar, hal ini akan menyebabkan wujudnya masalah membaca dalam kalangan membaca sehingga membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran.

            Persekitaran sekolah juga mempengaruhi kebolehan membaca pelajar. Sekiranya sekolah tidak menyediakan persekitaran yang sesuai bagi membaca, ia boleh mewujudkan masalah membaca dan memberikan kesan psikologi kepada pelajar untuk tidak mempunyai minat membaca. Maka, tingkah laku guru dalam mengendalikan bilik darjah amat mempengaruhi kebolehan membaca. Contohnya, guru perlu menyediakan bahan bacaan yang sesuai, jenis soalan yang baik dan memberi dorongan serta pengukuhan kepada pelajar. Apabila bahan bacaan yang dibaca oleh pelajar adalah menarik minat mereka, mereka akan memberikan respon yang positif dan mudah bagi mereka untuk bertindak balas berdasarkan pengajaran guru. Maka, masalah membaca dalam kalangan pelajar juga dapat diatasi dengan baik.

            Masalah membaca dalam kalangan pelajar juga dipengaruhi oleh persekitaran komuniti. Pembaca menggabungkan pengetahuan dan nilai yang ada dalam komuniti dengan perspektifnya sendiri bagi membezakan tahap pembacaan. Contohnya, pengalaman berkerja di ladang, hidup di kawasan setinggan ataupun di bandar kecil mempunyai perbezaannya tersendiri. Lebih banyak pengalaman dalam komuniti serta lebih banyak penglibatan dalam aktiviti, maka semakin kaya pengetahuan latar pembaca yang diperoleh semasa membaca. Begitulah sebaliknya.

  
           

No comments:

Post a Comment