Friday 3 May 2013

PEMILIHAN BAHAN BACAAN



PEMILIHAN BAHAN BACAAN
Bahan bacaan merangkumi sebuah buku, petikan akhbar atau pun majalah, surat dan sebagainya. Sebagai pembaca, bahan bacaan dapat mempengaruhi keberkesanan pembacaan. Susah ataupun senangnya bahan bacaan itu berkait rapat dengan tahap pembacaan pembaca ketika membaca. Guru-guru sering menghadapi masalah dalam memilih bahan bacaan untuk pelajar. Bahan sama ada dalam bentuk cetakan atau audio visual, ia perlu disediakan untuk pelajar bagi melakukan tugasan yang ditetapkan oleh guru. Oleh itu, penyediaan bahan bacaan bukan hanya meliputi usaha menyediakan bahan sahaja tetapi ia merangkumi tugasan yang perlu dilaksanakan dalam aktiviti membaca tersebut. Kesesuaian bahan dengan minat, kebolehan dan kesediaan belajar mempengaruhi kejayaan pengajaran bacaan dalam kelas.

            Bahan bacaan merangkumi pelbagai bentuk, jenis dan gaya seperti bahan akademik, sastera, laporan, berita dan sebagainya. Kepelbagaian laras bahasa dapat mempengaruhi kefahaman pelajar kerana perbezaan yang wujud dari segi perbendaharaan kata, rangkai kata, ayat atau gaya bahasa. Apabila digandingkan dengan bahasa lisan, bahan bacaan berbeza terutamanya dari segi penggunaan kata, ayat dan penyampaian gaya bahasa. Bahan bagi bacaan perlu disediakan dengan menggunakan bahasa yang bersifat formal, dengan menitikberatkan penggunaan tatabahasa, struktur ayat yang lengkap, perbendaharaan kata terpilih yang sesuai dengan jangkaan pembaca serta mempunyai daya penarik supaya terus dibaca. (Yahya Othman, 2004 : 98)

            Pemilihan bahan bacaan adalah penting kerana pembaca khususnya pelajar terdedah kepada maklumat yang positif mahupun negatif, kesahihan maklumat dan fakta serta kecenderungan, batasan dan halangan yang akan mungkin timbul dalam pemilihan bahan bacaan. Dengan tidak adanya persediaan dari segi kriteria memilih bahan bacaan, ia akan menyebabkan berlakunya pembaziran wang, masa dan sebagainya. (George M.Jacobs & Loh Wan Inn, 2002 : 23)

            Secara umumnya, pemilihan sesuatu bahan bacaan adalah sesuatu yang subjektif. Setiap pelajar perlu mempunyai arah dan hala tuju dalam memilih sesuatu buku atau bahan bacaan. Contohnya, pelajar tahap rendah perlu diberi bimbingan dan nasihat oleh ibu bapa sebelum membelinya dan pelajar tahap menengah pula perlu mendapatkan garis panduan daripada guru-guru. Berdasarkan situasi semasa, pemilihan sesuatu bahan bacaan yang diamalkan oleh kebanyakan pelajar boleh dibahagikan kepada beberapa faktor iaitu:

        i.            Buku rujukan yang mempunyai perkaitan dengan mata pelajaran yang dipelajari

      ii.            Buku umum iaitu cerita, sukan dan hiburan yang diminati berdasarkan kepada keperluan semasa.

    iii.            Buku yang diwajibkan oleh guru sekolah.

Pemilihan bahan bacaan juga dibuat berdasarkan ingin memperkemas dan memantapkan lagi ilmu pengetahuan, maklumat, kemahiran dan pengalaman sedia ada. Melalui perluasan ini, pembaca khususnya pelajar akan berusaha untuk memilih bahan bacaan yang berkaitan dengan nilai dan kemajuan diri, teknik pembelajaran dan isu-isu semasa. Dengan itu, kita sebagai pembaca perlu mengetahui realiti dan kebenaran bahan bacaan dengan keperluan persekitarannya. Secara keseluruhannya, faktor dalam pemilihan bahan bacaan berubah mengikut keperluan pembelajaran.

No comments:

Post a Comment