Friday 3 May 2013

TEORI MEMBACA



TEORI MEMBACA

Membaca adalah salah satu jenis keterampilan berbahasa dan juga suatu proses yang kompleks dan rumit. Membaca yang kompleks dapat dipengaruhi oleh beberapa faktor. Model teori membaca lahir daripada perspekif bagaimana makna diangkat dari bacaan. Inti atau kandungan proses membaca adalah seseorang itu berusaha untuk  memahami isi yang ingin diluahkan oleh penulis  dalam bacaan mereka. Pemerolehan makna yang diangkat dari pelbagai-bagai jenis sudut. Dari sudut itulah pandangan para ahli intelektual dibezakan. Terdapat  tiga pandangan tentang bagaimana makna-makna ini diperolehi dan seterusnya melahirkan tiga model teori membaca. Tiga model teori itu antaranya ialah :

1. MODEL TEORI BOTTOM-UP

Memandangkan bahasa yang mewadahi teks akan menentukan pemahaman. Oleh sebab itu, secara fiziknya  ketika orang melakukan kegiatan membaca, yang dipandang adalah halaman-halaman bacaan yang kedudukannya berada di bawah (kecuali membaca sambil tidur). Secara literal, bottom-up bererti ‘dari bawah ke atas’. Maksudnya, makna itu berasal dari bawah (teks) menuju ke atas (otak/kepala). Secara harfiah, menurut teori bottom-up, teks-teks inilah  yang menentukan pemahaman. Inti proses membaca menurut teori ini adalah proses pengekodan kembali simbol tuturan tertulis (Harris & Sipay, 1980). Membaca dalam proses bottom-up merupakan proses yang melibatkan ketepatan, perincian, dan rangkaian persepsi dan identifikasi huruf-huruf, kata-kata, pola ejaan, dan unit bahasa lainnya. Tugas utama pembaca menurut teori ini adalah mengekod lambang-lambang yang tertulis menjadi bunyi-bunyi bahasa (Harjasuna, 1996). Brown (2001) menyatakan bahawa pada proses bottom-up membaca terlebih dahulu mengetahui berbagai tanda linguistik, seperti huruf, morfem, suku kata, kata-kata frasa, petunjuk gramatika dan tanda wacana, kemudian menggunakan mekanisme pemprosesan yang masuk akal, koheren dan bermakna. Hal ini supaya para pembaca dapat  memahami sesuatu bacaan melalui teori ini, pembaca memerlukan keterampilan yang berhubungan dengan lambang bahasa yang digunakan dalam teks.

 2. MODEL TEORI TOP-DOWN

Teori ini dikenali sebagai model psikolinguistik dalam membaca dan teori ini dikembangkan oleh Goodman (1976). Model ini memandang kegiatan membaca sebagai sebahagian dari proses pengembangan skemata seseorang yakni pembaca secara stimultan (terus-menerus), menguji dan menerima atau menolak hipotesis yang ia buat sendiri pada saat proses membaca berlangsung. Pada model ini, informasi grafik hanya digunakan untuk menyokong hipotesis tentang makna. Pembaca tidak memerlukan bahan  informasi grafik yang banyak lagi dari pembacaan kerana mereka telah memiliki modal bacaan mereka sendiri untuk membuat pengertian dalam  bacaan. Proses membaca model ini dimulai dengan hipotesis dan prediksi-prediksi kemudian memverifikasinya/mengesahkannya dengan menggunakan stimulus/rangsangan yang berupa tulisan yang ada pada teks. Inti dari model teori Top-down ialah pembaca mulai memproses pemahaman teks dari yang berasaskan sumber hukum yang lebih tinggi. Pembaca boleh memulai tahap pembacaannya dengan membaca prediksi-prediksi, hipotesis-hipotesis, dugaan-dugaanyang berkaitan dengan apa yang mungkin ada dalam bacaan tersebut, yang bermodalkan pengetahuan tentang isi dan bahasa yang dimilikinya. Untuk membantu pemahaman dengan menggunakan teori ini, pembaca menggunakan strategi yang didasarkan pada penggunaan petunjuk semantik dan sintaksis, maksudnya  untuk mendapatkan makna bacaan, pembaca dapat menggunakan petunjuk tambahan yang berupa kompetensi berbahasa yang mereka miliki. Jadi, kompetensi berbahasa dan pengetahuan tentang apa sahaja memainkan peranan penting dalam membentuk makna bacaan sesuatu teks.  Jadi menurut teori Top-down dapat disimpulkan bahwa pengetahuan, pengalaman dan kecerdasan pembaca diperlukan sebagai dasar dalam memahami bacaan.

  3. MODEL TEORI INTERAKTIF

Model ini merupakan kombinasi antara pemahaman model Top-Down dan model Bottom-Up. Pada model interaktif, pembaca mengangkat pendekatan top-down untuk memprediksikan makna, kemudian beralih ke pendekatan bottom-up untuk menguji apakah hal itu benar-benar seperti yang dikatakan oleh penulis. Ertinya, kedua model tersebut terjadi secara stimultan pada saat membaca. Pengamal teori ini memandang bahawa kegiatan membaca merupakan suatu interaksi antara pembaca dengan teks. Dengan teori itu, dijelaskan bagaimana seorang pembaca menguasai, menyimpan dan mempergunakan pengetahuan dalam format skemata. Kegiatan membaca adalah proses membuat hubungan yang bermaksud bahawa informasi baru dengan pengetahuan yang dimiliki sebelumnya (skemata). Menurut pandangan interaktif, membaca diawali dengan formulasi tentang hipotesis berkaitan makna, kemudian dilanjutkan dengan menguraikan makna huruf, kata, dan kalimat dalam bacaan. Model interaktif adalah model membaca yang menggunakan secara serentak antara pengetahuan informasi grafik dan informasi yang ada dalam fikiran pembaca. Proses membaca menurut pandangan interaktif adalah proses intelektual yang kompleks, mencakupi dua kemampuan utama, yaitu kemampuan memahami makna kata dan kemampuan berfikir tentang konsep verbal (Rubin, 1982). Pendapat ini mengisyaratkan bahawa ketika proses membaca berlangsung, terjadi konsentrasi dua arah pada pemikiran pembaca dalam waktu yang sama. Dalam melakukan aktiviti-aktiviti membaca, pembaca secara aktif memberi respon dan mengungkapkan bunyi tulisan dan bahasa yang digunakan oleh penulis. Selain itu, pembaca digalakkan untuk  mengungkapkan makna yang terkandung di dalamnya atau makna yang ingin disampaikan oleh penulis melalui teks yang dibacanya.

4.TEORI MODEL TRANSEKSIONAL

Model ini adalah proses yang berhubung antara transaksi diantara pembaca dengan bahan bacaan. Pembacaan seperti ini digunakan oleh seseorang pembaca untuk memahami, meneliti dan mengaplikasikannya dari bahan bacaan kepada pelaksanaanya. Proses pelaksanaan seperti ini banyak digunakan oleh pelajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran.

5.TEKNIK MEMBACA KWLH

  Teknik KWLH ialah satu teknik membaca secara kritis yang memerlukan pelajar meninjau perkara-perkara yang telah diketahui, yang akan diketahui dan yang telah dipelajari. Teknik ini bertujuan menggalakkan pelajar mencari maklumat tambahan daripada pelbagai sumber.  Teknik ini juga sesuai dilaksanakan untuk bacaan ekstensif dan kritis.

K(What  I know )

·         Know (Tahu).  Murid-murid mencatat maklumat yang sudah diketahui berdasarkan tajuk atau perkara yang akan dibincangkan.

W(Want)

·         (Hendak/Ingin Tahu). Murid-murid mencatat maklumat yang ingin diketahui dengan lebih lanjut berdasarkan tajuk atau perkara yang dibaca.

L(What I learned)

  •   Learn (Pelajari).  Murid-murid dikehendaki mencatat isi penting yang diperoleh daripada bahan bacaan berdasarkan tajuk atau teks. Dengan perkataan lain, murid-murid menjawab soalan yang dibina sendiri.

H(How much I want to know)

  •    How (Bagaimana).    Murid-murid dikehendaki mencatat bagaimana, bila dan di mana untuk mendapatkan maklumat yang belum lengkap berdasarkan teks yang diberi. Murid-murid juga berupaya mengemukakan cadangan untuk merujuk sumber lain.


BAGAIMANAKAH CARANYA?

  • Guru menyediakan tajuk dan memberi borang KWLH kepada pelajar.
  • Guru berbincang dengan pelajar tentang tajuk dan meminta pelajar mengisi ruangan ‘K’ ( apa yang saya tahu) berkaitan dengan tajuk.
  • Guru meminta pelajar mengisi ruangan ‘W’ ( apa yang saya ingin tahu) tentang tajuk yang diberi.
  • Guru memberi petikan dan meminta pelajar membaca dan mencatat isi-isi penting dalam ruangan ‘L’ ( apa yang saya telah pelajari).
  •   Guru berbincang dengan pelajar tentang perkara yang telah mereka pelajari dan meminta pelajar mengisi ruangan ‘H’ ( bagaimana saya boleh mendapatkan maklumat tambahan) berkaitan dengan tajuk yang dipelajari. 

    K
(know)
    W
(want)
    L
(learned)
    H
   (how)


6.  TEKNIK MEMBACA SQ3R

Teknik SQ3R digunakan oleh guru   untuk membimbing pelajar bagi meningkatkan kemahiran belajar pelajar. Pelajar dapat membaca secara kendiri bagi memperkukuh kemahiran berfikir. Ini semua dapat dilakukan dengan  memberi penekanan kepada tinjauan. Maklumat diperoleh melalui penyoalan. Pengukuhan maklumat dibuat dengan menyatakan kembali dan menyemak semula 

       
                     APAKAH YANG BERLAKU PADA SETIAP PERINGKAT BACAAN?
              
              i.            Survey( imbasan)

Murid-murid membaca secara pantas untuk mendapatkan gambaran awal tentang isi bacaan mengikut pemahaman masing-masing. Mereka hanya memfokuskan terhadap bahan atau teks yang berkaitan tajuk utama, sub tajuk/tajuk kecil, gambar, symbol, ilustrasi, grafik dan pemenggalan teks.Teknik bacaan yang sesuai digunakan ialah teknik skimming dan scanning.


            ii.            Soalan (Question)

Pada peringkat ini, pelajar  membina soalan daripada tinjauan yang telah dilakukan. Soalan boleh dibina dengan menggunakan    prinsip 5W 1H iaitu what (apa?),when  (bila?), where (di mana?), why (mengapa?), who (siapa?), how (bagaimana?). Dengan pertanyaan ini pelajar  akan  tertumpu kepada mencari jawapan bagi soalan-soalan yang dibina.


          iii.            Read (membaca)

 Murid-murid menyenaraikan beberapa isi soalan (intipati yang terkandung dalam teks. Soalan tersebut adalah berdasarkan perkara yang ingin diketahui oleh murid-murid tentang topik/isu dalam teks. Soalan tersebut juga adalah penyenaraian siri soalan yang berkaitan dengan tugasan yang diberi di samping merupakan panduan kepada jawapan sebenar. Murid-murid akan mencari jawapan dan ramalan jawapan yang paling sesuai.


          iv.            Recite (Menyebut/mengulang)

 

Setelah murid-murid membaca keseluruhan teks, mereka dikehendaki mengingat kembali kesemua atau sebahagian maklumat yang terdapat. Murid-murid perlu menyenaraikan maklumat yang berkaitan soalan atau tugasan sebelum dapat menjawab semua soalan tugasan berdasarkan maklumat dalam teks. Murid-murid juga boleh mengemukakan jawapan kepada soalan asal sebelum merujuk jawapan yang terdapat dalam teks serta membandingkan ketepatan jawapan masing-masing.


            v.            Review (Menyemak)  


       Pada peringkat ini, murid-murid dikehendaki membaca semula soalan dan jawapan yang ditulis atau dicatat. Ini adalah peringkat untuk mengesahkan jawapan yang dikemukakan oleh murid-murid pada peringkat recite (menyebut/mengulang). Murid-murid perlu mempastikan bahawa semua bahagian sudah dijawab berdasarkan fakta dan maklumat dalam teks. Murid-murid sepatutnya tidak tertinggal maklumat atau fakta dalam tugasan pada peringkat question (menyoal).


TUJUAN SQ3R

      Membolehkan pelajar membaca secara kritis, membolehkan mereka meninjau perkara-perkara yang telah diketahui tentang bahan tersebut untuk   dikaitkan dengan pengetahuan dan pengalaman pelajar. Menarik minat pelajar untuk membaca perkara-perkara yang hendak diketahui. Juga membolehkan mereka mengenal pasti perkara-perkara yang telah dipelajari dan perkara-perkara tambahan yang belum diketahui lagi .


7. TEKNIK MEMBACA BIMBINGAN MENJANGKA

       Bimbingan menjangka adalah bimbingan yang diberi oleh guru khususnya untuk membantu murid membaca dan memahami. Hj Ismail Hj. Zakaria, Salmah Othman, Elly Chong, (1992:86), mengistilahkan bimbingan menjangka sebagai aktiviti membaca terarah. Aktiviti bimbingan menjangka digunakan untuk membimbing murid membaca dan memahami petikan, rencana dan karya sastera. Aktiviti ini juga sesuai untuk mengajar bacaan dan kefahaman kepada kumpulan kecil atau keseluruhan kelas. Terdapat lima langkah yang perlu diikuti oleh guru dan murid ketika menjalankan aktiviti bimbingan membaca. 

·         LANGKAH 1 

       Guru perlu melakukan tinjauan terhadap pengetahuan dan pengalaman sedia ada murid berkaitan petikan yang akan dibaca. Sekiranya pengetahuan dan pengalaman murid kurang mencukupi maka, guru perlu menjalankan beberapa aktiviti awal, iaitu (i) membaca petikan sepintas lalu, (ii) menyampaikan isi utama petikan kepada murid, (iii) menyenaraikan perkataan dan konsep baharu dan menghuraikan maknanya dan (iv) menggunakan gambar, foto, tayangan slaid atau filem sebagai pengukuhan pengetahuan dan pengalaman murid tentang isi petikan.

·         LANGKAH 2

Sebelum pembacaan yang sebenarnya dijalankan, guru menjelaskan kepada murid tentang tujuan pembacaan itu. Penyataan tujuan pembacaan dapat ditunjukkan melalui empat aktiviti, iaitu (i) mendapatkan isi-isi utama petikan, (ii) memberi makna perkataan tertentu mengikut konteks, (iii) mengemukakan pendapat tentang kesesuaian tajuk dan (iv) menghuraikan gerak balas afektif terhadap petikan. 

·         LANGKAH 3 

       Guru menentukan had masa untuk murid membaca petikan khususnya berdasarkan pembacaan senyap. Pembacaan kuat pula dijalankan hanya untuk interpretasi terhadap sesuatu persoalan atau penghayatan keindahan bahasa dalam petikan. Teknik pengajaran bacaan kuat tidak digalakkan untuk pengajaran dan pembelajaran dalam peringkat ini.

·         LANGKAH 4 

       Perbincangan isi petikan dijalankan secara bersoal jawab seperti yang dijalankan ketika aktiviti mengenal pasti tujuan pembacaan. Perbincangan juga boleh dijalankan berdasarkan pengalaman baharu yang dialami oleh murid. Perbincangan boleh dijalankan di peringkat kelas dan dijalankan oleh guru dengan melibatkan murid secara aktif. Guru boleh berperanan sebagai penasihat dan pemudah cara jika perbincangan dijalankan dalam kumpulan kecil.

·         LANGKAH 5 

Langkah ini merupakan aktiviti pengayaan yang boleh dijalankan berdasarkan aktiviti dalam keempat-empat langkah sebelum ini. Aktiviti pengayaan boleh dijalankan dalam kelas atau sebagai kerja rumah berdasarkan tiga kaedah, iaitu (i) melakukan ilustrasi peristiwa dalam petikan, (ii) menulis cerita berdasarkan tema yang sama dan (iii) melakukan bacaan luas tentang tajuk yang dibaca.


8. TEKNIK MEMBACA RADAR

     APA ITU RADAR ?

R= read (membaca)

A= analogize (menganologi)

D= discuss (berbincang)

A= apply (mengaplikasi)

R= review (menyemak)

Teknik RADAR direka oleh Martin pada tahun 1983. Teknik ini membolehkan pelajar menghubungkaitkan apa yang diketahui dengan perkara yang baru. RADAR berfungsi untuk mengesan pengetahuan baru dan mengaitkannya dengan pengetahuan yang telah diketahui. Melalui kaedah ini pelajar berpeluang untuk membandingkan konsep yang akan dipelajari dengan pengalaman atau pengetahuan sedia ada pada diri mereka sendiri.

         5 LANGKAH RADAR IALAH :

1.      R=READ

Pelajar dikehendaki membaca petikan serta mendapatkan maklumat yang dikehendaki. Pelajar juga boleh mendapatkan maklumat daripada teks yang diberi serta membandingkan dengan maklumat lain.

2.      A= ANOLOGIZE

Pelajar menerangkan bagaimana konsep, barang, idea, tempat berhubungkait dan mempunyai persamaan.

3.      D= DISCUSS

Pelajar menyenaraikan persamaan yang terdapat pada barang, idea atau tempat. Guru membantu pelajar membuat perbandingan serta menentukan persamaan yang penting tentang konsep, barang, idea atau tempat.

4.      A=APPLY

Bincang secara mendalam tentang dua perkara yang dibandingkan

5.      R=REVIEW

Membuat penyelidikan lanjutan tentang apa yang dibincangkan atau merumus semula apa yang telah dibincangkan.

Dengan ini dapatlah dikatakan bahawa, membaca dan memahami merupakan proses aktif yang di dalamnya melibatkan banyak faktor. Keterlibatan faktor-faktor itu bertujuan untuk memperolehi pemahaman melalui proses interaksi antara pembaca dengan bacaan dalam peristiwa membaca. Model teori dan teknik membaca di atas mewarnai pandangan para ahli tentang membaca. Jika diamati secara teliti, tulisan atau pembahasan tentang membaca dalam buku-buku dan jurnal-jurnal, sedikit atau banyak, ia menyentuh kesemua teori yang diterangkan di atas. Selalu ada benang merah yang menghubungkan pandangan para ahli dengan model teori membaca tersebut.

No comments:

Post a Comment