Saturday 4 May 2013

PENDEKATAN DALAM MENGAJAR MEMBACA



Pendekatan Dalam Mengajar Membaca
Untuk memastikan pelajar dapat menguasai sesuatu kemahiran membaca itu dengan betul, terdapat beberapa langkah atau pendekatan yang boleh digunakan oleh guru untuk membantu pelajar. Dalam konteks ini, ia merangkumi beberapa aspek. Antaranya, pengalaman pelajar, teks yang digunakan serta kebolehan pelajar.

1. Pendekatan Membaca Asas.
Menurut Yahya Othman (2004),  pendekatan ini meliputi aktiviti mengajar membaca yang biasa di mana ia menggunakan pelbagai kemahiran. Antaranya ialah tujuan rekreasi, mencari maklumat serta bimbingan. Dalam pendekatan ini juga, ia turut menekankan tentang kesinambungan pengulangan dan mengulang kaji perkara yang diajar sebelumnya. Ia bermaksud sentiasa membuat latihan terhadap sesuatu yang telah diajar. Dalam pengajaran membaca juga, penambah bahan kepada perkara yang telah diajar merupakan salah satu cara yang boleh membantu pelajar dalam menguasai kemahiran membaca mereka.
      Seterusnya, dalam pendekatan ini pola dan perbendaharaan kata turut dipandang serius. Ia bermakna guru perlu menjelaskan terhadap perkara ini kepada pelajar dengan tepat. Hal ini kerana, supaya bilangan perkataan yang digunakan oleh pelajar dapat dikira dengan tepat dalam waktu-waktu yang tertentu. Malah, perkara yang lebih penting dalam pendekatan ini ialah guru perlu memikirkan kebolehan serta pengalaman yang dimiliki oleh pelajar dalam peringkat menguasai kemahiran membaca.
     Pendekatan ini mempunyai prinsip-prinsip yang tertentu. Antaranya ialah pengajaran perkembangan kemahiran. Ia merujuk kepada guru menekankan aspek yang penting dalam pengajaran. Sebagai contoh, semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran, guru menulis di papan hitam. Kemudian, guru membulatkan perkara yang penting yang ingin di tekankan. Malah, dalam pendekatan membaca asas juga turut meliputi membaca secara terarah. Ia nya terbahagi kepada lima cara, iaitu motivasi, persediaan latar belakang, menetapkan tujuan, membaca semula secara senyap ataupun lisan secara terarah dan juga tindakan balas dan perluasan.
         Dalam konteks motivasi, ia berdasarkan latar pengalaman, kuiz, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Guru boleh melakukan kuiz di dalam kelas agar pelajar lebih bersemangat untuk belajar dan mereka lebih memahami terhadap perkara  yang diajar. Seterusnya ialah persediaan latar belakang. Ia merujuk kepada perkataan yang sukar atau asing , disebut oleh guru. Kemudian, meminta pelajar menggunakannya dalam konteks perbualan ataupun dalam karangan yang dibuat. malah, guru juga boleh meminta pelajar meneka makna perkataan asing yang digunakan itu. Malah, dalam konteks ini guru dan pelajar perlu menetapkan tujuan. Ia bermakna apakah hasil yang bakal diperoleh apabila membaca sesuatu teks. Sama ada ia hasilnya akan memberikan unsur humor, menyelesaikan masalah atau sebagainya. Pelajar juga boleh membaca secara senyap atau lisan secara terarah. Cara ini menunjukkan bagaimana guru membiarkan pelajar membaca dengan senyap atau menghayati teks terlebih dahulu sebelum menjawab sesuatu soalan. Pada masa ini, guru boleh membantu pelajar secara individu dan secara tidak langsung dapat membantu pelajar yang lemah.

2. Pendekatan Teknologikal
Pendekatan ini menekankan keupayaan menghasilkan pengajaran berurutan yang dapat dilakukan semula pada masa yang lain. Malah, ia turut menekankan perkara yang dapat dirasai oleh panca indera serta diberikan bukti kebenarannya. Malah, menurut Yahya Othman juga pendekatan ini dilabelkan sebagai :-  Sistem membaca berdasarkan objektif
b)      Program berdasarkan kriteria
c)      Membaca berdasarkan kecekapan
d)     Sistem pengurusan kemahiran
e)      Membaca berdasarkan perspektif diagnostik
            Dalam pendekatan ini juga terdapat beberapa aspek. Antaranya ialah berkenaan dengan objektif tingkah laku. Pelajar perlu memahami dan mengenal pasti perkataan, objektif terhadap sesuatu pemahaman serta kemahiran belajar. Seterusnya ialah ujian kriteria bagi setiap objektif. Ia menentukan status dan kedudukan individu dengan merujuk kepada domain tingkah laku. Sebagai contoh kemahiran membaca atau beberapa kemahiran lain dalam kemahiran membaca. pada masa yang sama, rangsangan yang diberikan hendaklah sesuai dengan setiap objektif yang telah ditetapkan. Selain itu, strategi pengajaran juga perlu digunakan dalam pendekatan teknologikal ini. Ia merujuk kepada strategi yang wujud dalam bentuk bahan, program pelajaran atau aktiviti pelajar yang memerlukan tindak balas. Di samping itu, strategi melalui contoh dan penerangan membantu mereka mencapai objektif yang telah pun ditetapkan. Walau bagaimanapun, bagi sesetengah sistem pengajaran, ia hanya menawarkan sumber khusus. Seperti muka surat tertentu buku kerja, kuiz dan sebagainya. Sebagai guru, perlunya kreativiti dalam diri guru tersebut. Hal ini kerana setiap pelaksanaan pengajaran yang menarik, akan membantu pelajar dalam menguasai kemahiran membaca. Aspek terakhir dalam pendekatan ini ialah sistem penyimpanan rekod.
 








3. Pendekatan Pengalaman Bahasa.
Pendekatan ini merujuk kepada pelajar-pelajar yang mempunyai perbezaan linguistik. Menurut Lewis (1990), pendekatan ini mempunyai kelebihan yang tertentu. Antaranya ialah guru dapat menilai penggunaan sintaksis dan struktur ayat apabila mereka menggunakan bahasa lisan itu sendiri, dapat menggabungkan penulisan dalam mengarang cerita daripada pengalaman individu ataupun kumpulan, dapat mengembangkan perbendaharaan kata dan sintaksis apabila pelajar menulis cerita daripada bahan yang didengari serta hasilnya akan membuatkan kesan yang positif.
         Pendekatan ini melibatkan aktiviti hubungan antara pemikiran, pertuturan, penulisan dan membaca. Dalam konteks ini, guru merangsang pelajar mengenai sesuatu perkara yang diajar. Pada masa yang sama, pelajar hendaklah melahirkan pemikirannya secara lisan berdasarkan huraian situasi, analisis masalah serta beberapa cadangan penyelesaian daripada perkara yang dilihat. Dalam konteks ini, ia menjelaskan bahawa perkara yang di fikir, diucapkan, dan dituliskan sangat bermakna. Hal ini kerana ia secara tidak langsung menunjukkan pemahaman pelajar terhadap sesuatu perkara. Dalam pendekatan ini, ia juga menjelaskan terhadap bahan dan kandungan yang perlu dilaksanakan oleh guru. Antaranya ialah tidak menggunakan buku teks yang tertentu. Hal ini kerana, pendekatan ini merujuk kepada kaedah yang berfokus pengalaman. Kemudiannya perbendaharaan kata dan pola ayat juga dibina sendiri oleh pelajar. Malah isi kandungan yang dilahirkan adalah merupakan refleksi daripada pengalaman pelajar sendiri dan juga aktiviti yang diucapkan. Menurut Yahya Othman, pendekatan ini mempunyai kaedah pengajaran yang tertentu. Antaranya :-

a)      Guru perlu berfikir dan melahirkan rangsangan penulisan.
b)      Menulis pemikiran yang diucapkan.
c)      Membaca perkara yang ditulis.
d)     Membuat generalisasi berkenaan pola ejaan dan ayat yang ditulis.
e)      Menyatakan cara pemilihan dan penyusunan yang mempunyai kesan ke atas makna sesuatu ayat.
            Walau bagaimanapun, pendekatan ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri.  Antara kelebihannya ialah hubungan yang rapat antara belajar membaca dan kepentingan pelajar sendiri, perhatian dan bahasa yang digunakan. Kemudian, menghasilkan kesepaduan dalam semua kemahiran berbahasa seperti berfikir, bertutur, mendengar, menulis dan membaca. Sementara itu, kekurangannya pula ialah pendekatan ini memerlukan guru mengakses pengalaman pelajar dan kemudian ia disalurkan pengalaman itu bagi tujuan perkembangan bahasa. Malah, pendekatan ini juga akan menyebabkan penggunaan perkembangan mental yang kompleks. Hal ini demikian kerana perbualan atau aktiviti lisan yang dilakukan oleh pelajar akan mengganggu proses membaca kanak-kanak. Dalam konteks ini, perbualan yang biasa bergantung pada konteks dan bahasa badan yang digunakan bagi memudahkan pemahaman.

4. Pendekatan Membaca Individu
Pendekatan ini lebih menekankan kepada aspek pemeringkatan yang berbeza dalam pembacaan individu. Malah, ia juga menekankan aspek memilih bahan bacaan yang mengaitkannya dengan keperluan, minat dan juga keupayaan seseorang untuk membaca. Pada masa ini, guru perlu membantu cara memilih buku dengan cara penyiringan serta menerangkan kesukaran ketika membacanya. Biasanya guru akan memberi peluang kepada membaca secara meluas serta bebas berdasarkan buku dan majalah pelbagai tajuk.
               Tujuan pendekatan ini dilaksanakan dalam pendekatan membaca ialah salah satunya ia memberi kesan yang meluas dalam menarik minat membaca pelajar serta komitmen menjadikan aktiviti membaca sesuatu yang bernilai dalam kehidupannya. Malah, melalui pendekatan ini juga ia membantu untuk mengembangkan kecekapan kemahiran bahasa yang luas bermula dengan memilih kata yang mudah kepada aplikasi kemahiran bahasa dengan kandungan yang lebih kompleks. Pada masa yang sama, pendekatan ini turut menambahkan keupayaan pelajar memahami dan menilai bahan bacaan. Sebagai contoh, meluaskan keupayaan mengingat semula perkara yang sudah dibaca, sama ada pelajar yang sudah dapat memahami secara keseluruhan ataupun tidak.
            Untuk melaksanakan pendekatan ini juga, perlu dilaksanakan melalui beberapa prinsip. Guru boleh memilih sama ada ingin menggunakan prinsip pilihan kendiri atau perbincangan antara guru dan murid. Dalam aspek pemilihan kendiri, guru perlu mempercayai setiap kanak-kanak memilih buku yang berdasarkan minat dan kepercayaannya. Hal ini kerana ia secara tidak langsung akan membantu pelajar dalam mengembangkan penguasaannya dalam membaca. Kemudian dalam aspek perbincangan antara guru dan murid. melalui aspek ini pengajaran dilaksanakan secara personel atau melalui konferensi. Malah ia juga melibatkan penglibatan murid serta menggunakan huraian yang sesuai. Guru yang melaksanakan pendekatan ini perlu merekod harian bacaan pelajar, dalam konteks kelebihan serta kekurangannya.

5. Pendekatan Bahasa Bersepadu berdasarkan Falsafah Bahasa Keseluruhan.
Pendekatan seterusnya ialah lebih kepada mencerminkan teori utama yang berasakan bahasa kedua dan membina kekuatan linguistik pelajar. Pada masa ini pelajar membaca bagi keseronokan dan pada masa yang sama mereka mencari maklumat. Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa mendapatkan maklumat merupakan matlamat utama pendekatan ini.  Guru sangat diperlukan pada masa ini kerana guru harus membantu pelajar untuk menyelesaikan masalah pelajar.
                 Selain itu, dengan menggunakan pendekatan ini pelajar mempunyai pilihan yang tersendiri untuk belajar kesemua kemahiran membaca yang wujud berpusatkan pelajar dan fungsi guru sebagai fasilitator pembelajaran. Malah, Heges (1991) pengajaran guru yang menggunakan pendekatan ini menggunakan sifat autentik terlalu penting kepada pelajar bahasa yang pertama dan kedua. Sementara Beiger (1996), menggalakkan guru-guru membina pengajaran dengan menggunakan kesusasteraan untuk menyediakan pendidikan yang bersifat multi budaya kepada semua pelajar. Di samping itu, melalui pendekatan ini pelajar dapat mengembangkan penguasaan bahasa yang semula jadi. Ia juga menekankan makna dalam konteks dan pengalaman pelajar bagi memudahkan pemahaman membaca.

6. Pendekatan Membaca berasaskan Bahan Kesusasteraan.
Dalam konteks ini, ia menekankan bahan-bahan kesusasteraan yang mungkin dalam bentuk yang paling asas. Malah, melalui pendekatan ini juga boleh membina kebolehan berbahasa, bahan sastera yang digunakan pada peringkat awal membaca. Hal ini kerana ia dapat mendorong pelajar untuk lebih memahami dengan lebih meluas berkenaan dengan aspek bahasa yang terkandung dalam struktur ayat. Membaca menggunakan bahas kesusasteraan juga akan memperlihatkan keindahan bahasa yang wujud dalam bahan itu sehingga pelajar dapat mengetahui dan memahami jalan cerita yang ingin disampaikan itu.
              Sementara itu, sebagai mana yang maklum negara kita mempunyai pelajar yang berbilang kaum. Ia secara tidak langsung penggunaan sastera daripada etnik yang lain akan membantu mereka untuk lebih memahami serta mengamalkan rasa saling bersatu dalam suatu kelompok yang berbagai-bagai etnik. Dalam konteks pendidikan bahasa di Malaysia, KOMSAS merupakan komponen sastera yang dapat membantu pelajar untuk mencapai tahap kemahiran membaca.

7. Pendekatan Pembacaan Lisan
Melalui pendekatan pembacaan lisan, ia boleh dilakukan dengan menggunakan buku kerana ia mempunyai bahasa yang mengulangi sesuatu bahan bacaan. Sebagai contoh, guru membaca teks yang terdapat dalam buku kemudian diikuti oleh pelajar. Malah, mereka boleh berbincang berkenaan cerita yang disampaikan dan membacanya sekali lagi. Dalam konteks ini, ia dilakukan secara berulang-ulang.

8. Pendekatan Pembacaan Asas
Semasa guru menggunakan pendekatan ini, pelajar perlu memberi perhatian melalui beberapa aspek. Antaranya ialah :-
a)      Mengembangkan konsep latar belakang dan perbendaharaan kata sebelum membaca.
b)      Mahir mengemukakan soalan semasa membaca senyap bagi mengenal pasti dan menghapuskan kekeliruan serta bagi meningkatkan pemahaman pelajar.
c)      Penegasan lebih khusus ke atas kemahiran mendengar bahasa berbanding membaca lisan.
Untuk menjadikan pembacaan yang lebih menarik, guru juga boleh menggabungkan pendekatan mengajar asas membaca dan juga pendekatan kesusasteraan.

9. Pendekatan Mengajar Bacaan Peringkat Awal
Untuk melaksanakan pendekatan ini, terdapat beberapa peringkat asas yang perlu dilaksanakan oleh guru. Antaranya ialah :-
a)      Pendekatan Binaan (Sintektik)
                               I.            Kaedah abjad- Dalam konteks ini dlihat guru melatih pelajar untuk menyebut dan menghafal abjad.
                            II.            kaedah suku kata- Memperkenalkan kepada pelajar dari aspek vokal dan konsonan. Huruf konsonan + huruf vokal menjadikan ia satu suku kata. Dalam suku kata pula terdapat suku kata terbuka, dan suku kata tertutup.
                         III.            Kaedah fonik – Berkenaan dengan bunyi huruf dan bukannya nama huruf. Kemudian huruf akan digabungkan menjadi perkataan.

b)      Pendekatan Cerakinan (analitik)
                               I. Kaedah perkataan – Ia lebih menjurus kepada memperkenalkan perkataan kepada pelajar      dengan menggunakan kad perkataan. Dalam erti kata lain, guru boleh menggunakan akronim bagi memudahkan pelajar untuk mengingat perkataan-perkataan yang tertentu. Malah, pendekatan ini juga akan memudahkan pelajar untuk mengingati makna perkataan tersebut.
                            II.  Kaedah ayat dan cerita – Lebih memberi penekanan kepada ayat sebagai unit yang bermakna dalam bacaan. Malah ia lebih menumpukan kepada bahan bacaan yang lebih berbentuk cerita.

10.  Pendekatan PEBAS iaitu Pendekatan Bacaan Asas Pusat Perkembangan Kurikulum
Pendekatan Gabungan Bunyi Kata
Ia menekankan aspek pendekatan asas berdasarkan faktor yang berikut. Antaranya ialah sistem ejaan bahasa Melayu bersifat fonemik, kebanyakan suku kata bahasa Melayu mudah dan jelas serta perkataan yang mula diperkenalkan sudah difahami maknanya oleh murid.
Pendekatan abjad dan suku kata
Pendekatan ini menekankan pengenalan abjad dan suku kata kepada murid. ia boleh dilaksanakan melalui :-
a) Murid mengenali huruf dan juga hubungannya dengan bunyi.
b) Huruf konsonan pula digabungkan dengan huruf vokal menjadikan suku kata
c) Unit-unit kecil vokal juga digabungkan.
d) Pelaksanaan latih tubi sehingga pelajar boleh mengikuti kemahiran yang diajar.
e) Pengukuhan juga dilakukan melalui penulisan.

Kesimpulan
        Pengajaran membaca perlu dilaksanakan dengan teratur dan mengikut strategi yang pasti akan memberikan kesan yang positif kepada pelajar. Malah, sebagai guru hendaklah tidak berputus asa untuk membantu pelajar agar lebih mahir dalam membaca. Keadaan yang berbeza akan terjadi apabila guru mengajar pelajar yang mempunyai kecerdasan yang berbeza. Sama ada mempunyai kecerdasan yang tinggi atau pun lemah. Malah, faktor umur juga turut mempengaruhi pendekatan yang perlu dilaksanakan oleh guru. Seterusnya guru juga boleh menggunakan pendekatan yang lain untuk membantu pendekatan yang telah sedia ada.

            
                                                                       
                                                             

1 comment:

  1. assalamualaikum.... terima kasih di atas perkongsian ilmu ini.

    ReplyDelete